Thursday, 27 March 2008

The Hereafter

Wednesday, 19 March 2008

Debaran Malam Pertama

Bagaimanakah Malam Pertama Kita di Alam Kubur Nanti?
Asyik dan Nikmat atau Penuh Derita dan Sengsara?

"Wahai anak Adam, apa yang telah engkau persiapkan saat malam pertamamu nanti di alam kubur? Tidakkah engkau tahu, bahawa ia adalah malam yang sangat mengerikan. Malam yang kerananya para ulama' serta orang-orang yang soleh menangis dan orang-orang bijak mengeluh. Apa tidaknya, kala itu kita sedang berada di dua persimpangan dan di dunia yang amat berbeza."

"Suatu hari pasti engkau akan tinggalkan tempat tidurmu (di dunia), dan ketenangan pun menghilang darimu. Bila engkau berada di kuburmu pada malam pertama, demi Allah, fikirkanlah untung nasibmu dan apa yang akan terjadi padamu di sana?"

Hari ini kita berada di dunia yang penuh keriangan dengan anak-anak, keluarga dan sahabat handai, dunia yang diterangi dengan lampu-lampu yang pelbagai warna dan sinaran, dunia yang dihidangkan dengan pelbagai makanan yang lazat-lazat serta minuman yang pelbagai, tetapi pada keesokannya kita berada di malam pertama di dalam dunia yang kelam gelap-gelita.

Lilin-lilin yang menerangi dunia adalah amalan-amalan yang kita lakukan, dunia sempit yang dikelilingi tanah dan bantalnya juga tanah. Pada saat kita mula membuka mata di malam pertama kita di alam kubur, segala-galanya amat menyedihkan, tempik raung memenuhi ruang yang sempit tapi apakan daya semuanya telah berakhir. Itukah yang kita mahukan? Pastinya tidak bukan? Oleh itu beramallah dan ingatlah sentiasa betapa kita semua akan menempuhi MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR!

Ingatlah ayat al-Quran bagi mereka yang mahu dikembalikan ke dunia setelah mati:

"Ya Tuhanku, kembalikanlah aku semula (ke dunia), agar aku dapat berbuat amal soleh terhadap apa yang telah kutinggalkan (dahulu)." (Surah Al-Mu'minun, ayat 99-100)

Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kematian dan sakaratul maut yang bakal menjemputmu? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis atas kuburan dan kengerian yang ada di dalamnya? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut akan hausnya di hari penyesalan? Wahai saudaraku, tidakkah engkau menangis kerana takut kepada api Neraka di Hari Kiamat nanti? Sesungguhnya kematian pasti menghancurkan kenikmatan para penikmatnya. Oleh itu, carilah (kenikmatan) hidup yang tidak ada kematian di dalamnya.

"Ya Allah, tolonglah kami ketika sakaratul maut!"

Sumber: Koleksi artikel iluvislam.com

Wednesday, 12 March 2008

Women in Islam: Discover the Truth


Women in Islam: Discover the Truth merupakan satu lagi program bersempena dengan Islam Awareness Week di Cardiff University. Pekara utama yang diketengahkan dalam sesi ini adalah berkaitan dengan perspektif terhadap wanita menurut kaca mata Islam. Isu-isu seperti pemakaian hijab, kekeluargaan, ekonomi dan sebagainya telah disentuh dan dibincangkan secara menyeluruh.

Hijab: Lambang keperibadian wanita Muslim


Sebagai seorang Muslimat, pemakaian hijab menunjukkan kepatuhan dan ketaatan kepada suruhan Allah s.w.t. yang mewajibkan Muslimat supaya menutup aurat. [24:31] Hijab juga adalah lambang kepada pemeliharaan maruah dan harga diri seorang wanita. Wanita Muslim tidak akan sewenang-wenangnya mendedahkan aurat mereka kepada individu yang tidak berhak. Aurat dijaga rapi bagi memastikan diri wanita Muslim terpelihara daripada anasir-anasir jahat dan gelombang maksiat yang melanda. (Open for discussion. Refer to commentary.)

Wanita, keluarga dan masyarakat


Islam juga mengangkat peranan wanita dalam aspek kekeluargaan. Peranan wanita dalam keluarga semakin meluas sejajar dengan pembangunan dan kemajuan kehidupan masyarakat. Tanggungjawab wanita dalam keluarga diperluaskan mencakupi hal ehwal pengurusan kewangan, pendidikan anak-anak, pembangunan kendiri dan motivasi, pengurusan kesihatan dan nutrisi dan sebagainya. Sebagai insan yang punya peranan besar dalam keluarga, wanita perlu bersikap optimis dan berpandangan jauh. Wanita harus melihat peranan mendidik anak-anak sebagai satu peluang untuk melahirkan masyarakat yang bertamadun dan berakhlak mulia.

Wanita & Profesionalisma


Era kemodenan juga menyaksikan penglibatan wanita bidang-bidang profesional. Wanita diberi peluang untuk menuntut ilmu hingga ke peringkat pengajian yang tertinggi. Wanita semakin gagah mengorak langkah ke arah bidang ekonomi, politik, sains dan juga teknologi. Peluang untuk bersuara dan berdiskusi tentang isu-isu semasa juga semakin meluas. Dalam usaha melahirkan wanita Islam yang serba boleh (all-rounder), proses menuntut dan meningkatkan ilmu harus menjadi objektif utama dalam kehidupan wanita. Perkara-perkara tentang ekonomi tidak boleh dipandang sepi. Hal ehwal dan percaturan politik tidak seharusnya dijauhi. Ilmu sains dan teknologi pula perlu dimantapkan lagi. Aspek-aspek keilmuan ini perlu dijalankan selari dan sejajar dengan usaha mempelajari Islam dan mempertahankan iman.

Antara perkara penting yang turut disentuh adalah pertentangan antara agama dan budaya. Kebanyakan individu yang kurang memahami Islam sering terkeliru antara amalan budaya sesuatu kaum dengan prinsip-prinsip yang terkandung dalam ajaran Islam. Sebagai contoh, banyak individu yang menganggap bahawa isu seperti arranged marriage dan honour killing adalah prinsip-prinsip ajaran Islam. Selain itu, isu yang turut mendapat perhatian adalah isu poligami. Poligami adalah perkara yang dibenarkan oleh Islam, tetapi ia bukanlah satu amalan yang wajib dilaksanakan. Poligami bukannya suatu perkara yang wujud untuk menganiayai wanita. Sebaliknya, jika poligami dilaksanakan berdasarkan prinsip Islam, keadilan dan kesaksamaan, maka ia dapat berperanan sebagai suatu amalan yang memelihara dan memartabatkan wanita.

Secara keseluruhan, Women in Islam: Discover the Truth telah membuka mata dan minda masyarakat tempatan tentang kedudukan wanita dalam Islam. Namun begitu, individu Muslim perlu sedar bahawa faktor usia, jantina, keturunan dan paras rupa bukanlah ukuran yang menentukan kedudukan di sisi Allah. Firman Allah menyatakan...

"Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amalan orang yang beramal antara kamu, baik lelaki ataupun perempuan, (kerana) sebahagian kamu adalah (keturunan) daripada sebahagian yang lain" [3:195]

Keterangan ayat: Sebagaimana lelaki berasal daripada perempuan dan lelaki (ibu dan bapa), maka perempuan juga berasal daripada perempuan dan lelaki. Kedua-duanya adalah manusia ciptaan Allah, tidak ada kelebihan antara satu pihak dengan pihak yang lain melainkan dengan iman, taqwa dan amalannya.

Oleh itu, selagi kita bergelar Muslim, maka kita wajib menuruti perintah Allah dan menjauhi larangannya. Sebagai manusia, kita hanya tumpang berteduh di Bumi Allah ini. Kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau sedangkan akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Dunia juga adalah ladang tempat bercucuk tanam dan di akhiratlah tempat kita mengutip hasilnya. Wallahualam.

Friday, 7 March 2008

Diari NISE 2008

The Journey...

5 jam di atas kereta api @ train dari Cardiff Central. Pejalanan sungguh menyeronokkan bersama ukhti-ukhti dari Cardiff University. Terhibur dengan gelak ketawa dan jenaka sehingga tak jadi tidur dibuatnya. Lapar? Tiada lagi terungkap perkataan itu kerana perut terisi dengan pelbagai masakan dan buah-buahan yang dibekal bersama...Erm...lazatnye meehoon goreng, sedapnye doughnut bercoklat, manisnya buah limau mandarin dan sweet nye buah anggur...

Pukul 1 pagi sampailah kami di Leeds Train Station. Canggih juge bandar ini ye...detik hati ini, tapi dah tak larat nak berkata-kata lagi. Mata sudah mengantuk, fikiran pula masih teringat mimpi semasa dalam train tadi...sambung tidur...

The Day...

Wahh...pinknye kontinjen dari Cardiff...daripada jauh lagi nampak ‘comel’ dan cute saje.. Sesuailah dengan nama Cardiff Team, ‘Hana Humaira’. Maksudnya, bunga yang kemerahan. Boleh dikatakan Cardiff Team dah macam The Pinkies lah pada pagi itu...hehe..

Semasa menunggu giliran menunjukkan bakat ber’nasheed’, apa lagi...bergambar dengan riang gembiranya lah kami semua...seronok apabila dapat bersosial secara berhemah dengan muslimat-muslimat dari tempat lain di UK ini. Luaskan pergaulan banyak pengetahuan...tapi harus diingat persahabatan yang terbina mestilah berlandaskan syariat...betul tak?

Hati ini taklah berdebar sangat sebelum membuat persembahan...hehe...yakin je...adelah sikit-sikit tapi tak de effect sangat pada physiology tubuh badan mahupun mental. Betul tak sahabat-sahabat semua? Hehe...yang penting enjoy dan ikhlas...

Mengikut sumber-sumber terdekat, para penyokong Cardiff Team terkesima sebentar kerana tidak menyangka persembahan kami yang sebegitu rupa...mengapa? Terukkah? Cacatkah? Pelbagai kejadian berlaku semasa persembahan...hihi...ada peserta yang terover menyanyi. Ada juga peserta yang keluar daripada barisan untuk membetulkan mikrofon yang seakan-akan tidak berfungsi...hehe...siapakah mereka...biarlah menjadi rahsia. Mungkin Ya, mungkin Tidak. Tunggu dan lihat sahajalah keputusannya nanti. Selesai sahaja persembahan, kami semua para peserta langsung tidak memberi komen atau bersuara...takut salah cakap...peserta lain semua nampak hebat...dalam hati berkata...susah nak menang ni...

The Result...

Mengikut kata penyokong...semasa nama pemenang tempat ketiga dan kedua diumumkan, sudah tiada harapan untuk ‘Hana Humaira’ menang...persembahan kami bukanlah hebat sangat...suara pun tak semerdu kicauan burung...

Rezeki yang tak disangka-sangka...’Hana Humaira’ dinobatkan sebagai JOHAN sulung Nise 2008 di Leeds. Sungguh bertuah bumi Wales ini dengan kejayaan pertama dalam industri nasheed kontemporari di UK...hehe...dengan membawa lagu Hero from Arashi dan Masanya Telah Tiba from Soutuljihad...Alhamdulillah...syukur kepada Ilahi dengan rahmat ini...

Tribute...

Masih lagi terkenang saat-saat latihan sebelum pertandingan. Ada yang sanggup datang dari jauh seperti Uni Hall ke Colum Road setiap malam untuk berlatih...tidak sia-sia menempuh perjalanan mencabar setiap malam...ada yang sanggup meminjamkan bilik, menyediakan makanan dan minuman kepada para peserta.. Sungguh tidak ternilai bakti mereka. Tidak lupa juga kepada yang bersusah payah menyiapkan video klip untuk persembahan...video persembahan adalah hasil lakonan para peserta nasheed sendiri...mungkin itu adalah tarikan kepada persembahan kami...hehe...tahniah juga kepada Songbird 1,2,3 and 4 yang bersusah payah menjaga suara sehingga hari pertandingan...hehe...akhir sekali..terima kasih kepada para penyokong kami...tanpa anda, siapalah kami...hehe...

Hadiah yang berupa hamper yang begitu tinggi juga telahpun dikongsi bersama-sama sesiapa sahaja yang terlibat dalam kejayaan ini. Kejayaan ini adalah milik bersama. Semoga dengan titik tambah kejayaan ini menjadi perangsang dan dorongan untuk Cardiff Team menyertai lagi NISE 2009 pada tahun akan datang...

Sekian. Berita ini dilaporkan untuk blog Malaysian Muslimah Circle in Cardiff.

-over the hills and far away, i will come to play-

Wednesday, 5 March 2008

Muhammad (PBUH) - The Past Will Come Alive


Muhammad (PBUH) - The past will come alive, begitulah tajuk produksi kreatif hasil buah fikiran daripada Cardiff University Islamic Society (CUIS). Produksi ini adalah pembuka tirai kepada Islam Awareness Week (1AW) 2008 yang berlangsung dari 3 Mac hingga 6 Mac 2008. 1AW 2008 hadir dengan tema "1 God, 1 Message, 1 Week" dan terus mengorak langkah meneruskan kesinambungan usaha CUIS untuk memperkenalkan Islam kepada komuniti setempat.

Islam Awareness Week adalah aktiviti tahunan yang dianjur oleh Islamic Society di universiti-universiti di seluruh pelusuk UK dan EIRE. Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat non-muslim untuk mengenal dan merasai ajaran Islam yang sebenar. Program ini juga menjadi medan untuk menjawab segala kemusykilan tentang Islam dan prinsip-prinsip kehidupan seorang Muslim. Bagi individu Muslim pula, Islam Awareness Week adalah salah satu medium untuk bermuhasabah tentang pemahaman terhadap agama Islam yang dianuti. Mampukah kita sebagai insan yang mengaku sebagai seorang Muslim untuk menjawab persoalan-persoalan tentang asas aqidah dan kepercayaan umat Islam? Mampukah kita bercerita tentang Seerah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat Baginda? Mampukah kita mengaplikasikan diskusi tentang penyaksian terhadap kebenaran Allah dan Rasul-Nya dalam kehidupan? Mampukah kita memahami dasar-dasar fiqh dalam Islam? Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga kita saling membantu dalam usaha menjunjung dan mengangkat martabat Islam. Ameen.

Muhammad (PBUH) - The past will come alive, adalah kombinasi persembahan video dan sketch tentang kehidupan dan Seerah Nabi Muhammad s.a.w. dari detik kelahiran sehingga ke penghujung riwayat hidup Baginda. Produksi ini bertujuan untuk memperkenalkan Nabi Muhammad s.a.w. dan menonjolkan sifat-sifat terpuji yang dimiliki Baginda. Antara sifat-sifat yang diketengahkan dalam produksi ini adalah sifat Al-Amin (The trustworthy) dan sifat kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. di kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah adalah satu rahmat yang besar bagi mereka. Kedatangan nabi terakhir ini menghapuskan amalan-amalan perhambaan, permusuhan, pembunuhan anak perempuan dan beberapa lagi perilaku buruk yang menjadi tradisi kehidupan masyarakat Arab Jahiliyyah. Walaupun perjalanan dakwah Nabi Muhammad penuh dengan ranjau dan duri, namun Baginda tidak pernah mengaku kalah dan gentar dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Sebagai individu Muslim yang mengaku bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah, kita juga harus mencontohi keperibadian Baginda dalam usaha mengembangkan syiar Islam. Setiap perbuatan dan kata-kata Baginda harus kita jadikan sebagai satu tabiat yang sebati dalam diri. Kemesraan Baginda terhadap ahli keluarga dan para sahabat harus kita contohi. Kesabaran Baginda semasa berhadapan dengan musuh-musuh Islam harus kita teladani. Kebijaksanaan dan sikap diplomasi Baginda dalam pemerintahan dan kepimpinan harus kita hayati. Malangnya, dalam kehidupan serba moden ini, wujudnya golongan tertentu yang mengambil sebahagian Sunnah Baginda dan meninggalkan yang selebihnya. Malah, wujud juga golongan yang menolak terus keseluruhan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. (Semoga kita tidak termasuk dalam golongan-golongan ini. Ameen.)

Secara ringkasnya, produksi ini telah membuka mata dan minda masyarakat non-muslim tentang peribadi Nabi Muhammad s.a.w. dan ketokohan Baginda dalam menguruskan keluarga, agama dan negara. Nabi Muhammad, ikon terunggul yang seharusnya menjadi contoh dan ikutan bagi setiap individu Muslim. Betapa dalamnya cinta Baginda terhadap umat Islam. Kalimah Ummati, Ummati, Ummati meniti di bibir baginda walaupun nyawa Baginda berada di penghujungnya. Sejauh manakah pula kasihnya kita, sayangnya kita, cintanya kita kepada Baginda? Renung, renungkan...Fikir, fikirkan...Wallahualam.