Wednesday, 5 March 2008

Muhammad (PBUH) - The Past Will Come Alive


Muhammad (PBUH) - The past will come alive, begitulah tajuk produksi kreatif hasil buah fikiran daripada Cardiff University Islamic Society (CUIS). Produksi ini adalah pembuka tirai kepada Islam Awareness Week (1AW) 2008 yang berlangsung dari 3 Mac hingga 6 Mac 2008. 1AW 2008 hadir dengan tema "1 God, 1 Message, 1 Week" dan terus mengorak langkah meneruskan kesinambungan usaha CUIS untuk memperkenalkan Islam kepada komuniti setempat.

Islam Awareness Week adalah aktiviti tahunan yang dianjur oleh Islamic Society di universiti-universiti di seluruh pelusuk UK dan EIRE. Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada masyarakat non-muslim untuk mengenal dan merasai ajaran Islam yang sebenar. Program ini juga menjadi medan untuk menjawab segala kemusykilan tentang Islam dan prinsip-prinsip kehidupan seorang Muslim. Bagi individu Muslim pula, Islam Awareness Week adalah salah satu medium untuk bermuhasabah tentang pemahaman terhadap agama Islam yang dianuti. Mampukah kita sebagai insan yang mengaku sebagai seorang Muslim untuk menjawab persoalan-persoalan tentang asas aqidah dan kepercayaan umat Islam? Mampukah kita bercerita tentang Seerah Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat Baginda? Mampukah kita mengaplikasikan diskusi tentang penyaksian terhadap kebenaran Allah dan Rasul-Nya dalam kehidupan? Mampukah kita memahami dasar-dasar fiqh dalam Islam? Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga kita saling membantu dalam usaha menjunjung dan mengangkat martabat Islam. Ameen.

Muhammad (PBUH) - The past will come alive, adalah kombinasi persembahan video dan sketch tentang kehidupan dan Seerah Nabi Muhammad s.a.w. dari detik kelahiran sehingga ke penghujung riwayat hidup Baginda. Produksi ini bertujuan untuk memperkenalkan Nabi Muhammad s.a.w. dan menonjolkan sifat-sifat terpuji yang dimiliki Baginda. Antara sifat-sifat yang diketengahkan dalam produksi ini adalah sifat Al-Amin (The trustworthy) dan sifat kebijaksanaan Nabi Muhammad s.a.w.

Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. di kalangan masyarakat Arab Jahiliyyah adalah satu rahmat yang besar bagi mereka. Kedatangan nabi terakhir ini menghapuskan amalan-amalan perhambaan, permusuhan, pembunuhan anak perempuan dan beberapa lagi perilaku buruk yang menjadi tradisi kehidupan masyarakat Arab Jahiliyyah. Walaupun perjalanan dakwah Nabi Muhammad penuh dengan ranjau dan duri, namun Baginda tidak pernah mengaku kalah dan gentar dalam menghadapi musuh-musuh Islam. Sebagai individu Muslim yang mengaku bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah pesuruh Allah, kita juga harus mencontohi keperibadian Baginda dalam usaha mengembangkan syiar Islam. Setiap perbuatan dan kata-kata Baginda harus kita jadikan sebagai satu tabiat yang sebati dalam diri. Kemesraan Baginda terhadap ahli keluarga dan para sahabat harus kita contohi. Kesabaran Baginda semasa berhadapan dengan musuh-musuh Islam harus kita teladani. Kebijaksanaan dan sikap diplomasi Baginda dalam pemerintahan dan kepimpinan harus kita hayati. Malangnya, dalam kehidupan serba moden ini, wujudnya golongan tertentu yang mengambil sebahagian Sunnah Baginda dan meninggalkan yang selebihnya. Malah, wujud juga golongan yang menolak terus keseluruhan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. (Semoga kita tidak termasuk dalam golongan-golongan ini. Ameen.)

Secara ringkasnya, produksi ini telah membuka mata dan minda masyarakat non-muslim tentang peribadi Nabi Muhammad s.a.w. dan ketokohan Baginda dalam menguruskan keluarga, agama dan negara. Nabi Muhammad, ikon terunggul yang seharusnya menjadi contoh dan ikutan bagi setiap individu Muslim. Betapa dalamnya cinta Baginda terhadap umat Islam. Kalimah Ummati, Ummati, Ummati meniti di bibir baginda walaupun nyawa Baginda berada di penghujungnya. Sejauh manakah pula kasihnya kita, sayangnya kita, cintanya kita kepada Baginda? Renung, renungkan...Fikir, fikirkan...Wallahualam.

1 comment:

hivax_30 said...

Sama2 lah kita meningkatkan diri dgn ilmu2 Allah. Yg menyampaikan tak semestinya lebih baik drpd yg menerima. Sebrg kekurangan didahului dgn kemaafan. Berilah tunjuk ajar kpd insan yg baru mengenal erti kehidupan ini. Wallahualam.