Saturday 23 February 2008

Datang dengan harapan, Pulang dengan kejayaan

Leeds, 23 Februari - Buat julung-julung kalinya, Leeds University Malaysian Students Society (LUMSOC) telah berjaya menganjurkan Nisa’ Nasheed Extravaganza (NISE) 2008. Idea untuk melahirkan NISE 2008 adalah bertitik tolak daripada kejayaan Nasheed Extravaganza, satu produk kreatif daripada Sheffield Malaysian Students Association (SMSA). NISE 2008, dengan tema 'Extra Mind, Extra Mild & Extra Mile' telah menyaksikan kemunculan bakat-bakat terpendam di kalangan Muslimat dari seluruh pelusuk UK. Acara yang telah melakarkan satu lagi sejarah dalam industri muzik ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para Muslimat yang menuntut di Bumi UK ini.

Dalam kesibukan dengan tugasan harian, Muslimat Cardiff juga tidak ketinggalan untuk turut sama menyertai kemeriahan NISE 2008. Pasukan nasheed dari Cardiff, Hana Humaira telah bertungkus lumus dan berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan mereka dapat memberikan persembahan yang terbaik semasa NISE 2008. Setiap cabaran yang mendatang dihadapi dengan seribu ketabahan. Setiap dugaan yang melanda tidak mematahkan semangat mereka. Sebaliknya mereka terus berusaha dan berusaha menuju ke arah yang lebih baik. Bukan kemenangan yang dimimpikan. Bukan juga kemasyhuran yang dicita-citakan. Mereka memberikan sepenuh komitmen bagi memastikan kualiti persembahan yang bukan sebarangan. Namun apa yang lebih penting lagi adalah ukhuwah yang terbina atas nama Islam dan tali persaudaraan yang terjalin atas dasar Iman. Selain itu, NISE 2008 pastinya menjadi satu memori indah dalam lipatan sejarah hidup mereka kerana dengan izin Allah s.w.t., Hana Humaira telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi NISE 2008. Syabas diucapkan kepada Hana Humaira.

Kejayaan ini bukanlah satu platform untuk menonjolkan kemegahan. Kejayaan ini juga bukan platform untuk mencetuskan kebanggan. Sebaliknya, ia adalah satu lembaran dalam perjuangan Muslimat Cardiff. Lembaran baru yang akan meniupkan semangat untuk sama-sama berjuang menegakkan kalimah Allah. Semoga kejayaan yang dicapai dapat menjadikan mereka lebih gagah dalam menghadapi cabaran kehidupan. Semoga kejayaan mereka juga menjadi pendorong untuk semua terutamanya Muslimat Cardiff dalam mengharungi dugaan dan pahit getir perjuangan. Akhir kata, segala puji bagi Allah yang mengurniakan dan menguji hamba-Nya dengan kejayaan. Alhamdulillah...Alhamdulillah...Alhamdulillah...Terima kasih dan tahniah kepada penganjur NISE 2008. Sekalung penghargaan juga diberikan kepada barisan penyokong dan semua yang terlibat dalam menjayakan NISE 2008. Tahniah dan syabas sekali lagi kepada Hana Humaira.

Nota: Laporan penuh NISE 2008 bakal menyusul.


No comments: