Tuesday 19 February 2008

Jejak Perantau

Alhamdulillah...Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, edisi sulung Jejak Perantau telah berjaya diterbitkan dan diedarkan kepada Muslimat yang berada di daerah Cardiff, Wales. Jejak Perantau adalah projek yang dijalankan dengan kerjasama Malaysian Muslim Circle (MMC) dan ia berfungsi sebagai medium untuk menyampaikan ilmu dan isu-isu semasa kepada Muslimat di daerah Cardiff. Selain itu, Jejak Perantau juga berperanan sebagai medan untuk menyuarakan pendapat, pandangan dan idea-idea kreatif yang mampu mengangkat martabat Muslimat Cardiff.


Edisi Pertama Jejak Perantau (Dec07)

Edisi pertama Jejak Perantau telah diterbitkan pada Disember 2007. Jika diizinkan Allah s.w.t. Jejak Perantau akan diterbitkan pada setiap bulan dengan kandungan yang sarat dengan ilmu dan maklumat yang bermanfaat. Edisi pertama telah dilancarkan dengan tema yang tersendiri iaitu "Menyingkap Tabir Perjalanan".

Bagi terbitan yang seterusnya, pihak Jejak Perantau berbesar hati untuk menerima sebarang sumbangan artikel untuk dimuatkan di dalam ruangan Isu Semasa. Sebagai contoh, edisi pertama Jejak Perantau mengutarakan isu Women Trafficking (Perdagangan Wanita), satu isu yang jarang dibincangkan, namun tetap relevan dengan kehidupan moden masa kini. Jika anda berminat untuk menyumbangkan artikel, anda tidak perlu menjadi penulis sehebat Sasterawan Negara. Anda hanya perlu membuka mata dan minda tentang isu-isu terkini baik yang berlaku di UK, Malaysia malahan di saentero dunia. Rancakkan jari-jemari di keyboard laptop atau PC anda dan hantarkan artikel anda kepada Jejak Perantau.

Selain itu, Jejak Perantau, melalui ruangan Rekreasi Minda juga meraikan bakat-bakat kreatif yang wujud di Cardiff. Jika anda berminat untuk menghasilkan lukisan, komik, sketch dan sebagainya, maka Jejak Perantau membuka ruang untuk anda mencurahkan idea yang sudah lama terpendam. Selain itu, jika anda seorang yang berjiwa puitis, anda boleh menghasilkan sajak, puisi, gurindam dan sebagainya. Jejak Perantau membuka jalan, membuka ruang untuk aspirasi seni tradisional, moden mahupun kontemporari.

Kepada yang berminat untuk menyumbangkan artikel atau karya bagi ruangan Isu Semasa dan Rekreasi Minda anda boleh menghantarkannya ke alamat: hivax_30@yahoo.com Sebarang pertanyaan atau kemusykilan juga boleh dikemukakan ke alamat email yang sama.

Nota:
  • Artikel atau karya yang dihasilkan mestilah karya asli (original)
  • Penyertaan terbuka kepada semua Muslimat Cardiff tanpa mengira umur, status dan jenis pekerjaan
Memandangkan Jejak Perantau baru sahaja mengorak langkah dalam dunia penerbitan, maka sebarang cadangan dan komen membina amat dialu-alukan. Hantarkan cadangan atau komen anda ke: hivax_30@yahoo.com

Pihak-pihak yang berminat untuk mendapatkan keluaran Jejak Perantau edisi pertama juga boleh menghubungi Jejak Perantau melalui email: hivax_30@yahoo.com

Sekian terima kasih.

No comments: