Senyum seindah suria yang membawa cahya! ~
Jika kita tersenyum walaupun pada ketika itu kita sedang bersedih dan berduka, sebenarnya kita sedang berusaha meringankan beban dan mengetuk gerbang kebahagiaan yang dicari-cari selama ini. Kadang-kadang, usah fikirkan beberapa kali untuk tersenyum, kerana dengan senyuman akan memberi makna bahawa kita sedang menghidupkan semangat dan kekuatan yang ada dalam diri. Jangan selalu bermurung dan bermasam muka kerana ianya hanya akan menekan kekuatan itu membuatkan diri kita lebih menderita. Bak kata para saintis, senyuman ibarat awet muda untuk mengekalkan seri wajah seseorang kerana ia ada kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang lebih selesa dengan dirinya sendiri.
Senyuman yang diukirkan tidak akan membahayakan kita!
Malah, ia akan menarik segala kebaikan. Berbicaralah dengan orang sekeliling dengan bahasa kalbu yakni dengan senyuman. Bibir yang paling indah dan menarik ialah ketika ia melontarkan senyuman. Salah satu elemen penting dalam komunikasi yang baik adalah pandai dan mahu tersenyum. Bergaul dengan komunikasi yang baik dan hidup bermasyarakat pastinya menuntut kemahiran tertentu yang perlu ada dalam diri kita. Apabila kita tersenyum kepada orang lain, bermakna kita sedang memberi kebahagiaan kepadanya kerana senyuman dapat menyuntik perasaan optimis dan mendamaikan hati orang lain. Sebaliknya jika kita tampil dengan wajah muram durjana, bengis dan murung, sudah pasti ianya hanya akan menyeksa dan mengganggu hati mereka, kita sudah tentu tidak mahu menjadi punca kesedihan kepada sesiapa pun. Makanya, senyumlah dari hati yang ikhlas dan kena pada tempatnya!
Hadapilah hidup ini dengan senyuman! ^_^
No comments:
Post a Comment